Assalamualaikum,

Setelah lama tiada penulisan dari saya, sempena hari baik dan bulan baik ini, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh umat Islam. Sesungguhnya pengorbanan hari raya Qurban itu satu pengorbanan yang sangat besar. Penulisan-penulisan saya berkenaan pengalaman sepanjang berada di Mekah moga mendapat iktibar dan panduan buat seluruh umat Islam. Bahkan pada saya penulisan sebegini sewajarnya lebih ramai dikalangan mereka yang mampu menulis untuk mencoretkan pengalaman mereka sepanjang berada di Mekah.


Bukanlah untuk menunjuk-menunjuk yang mereka telah menunaikan ibadah Haji tapi membantu untuk bakal-bakal haji lebih memahami apa yang bakal mereka hadapi sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Untuk anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang bakal menunaikan haji, seeloknya mereka juga banyak membaca dan membantu memberi penerangan untuk ibu bapa mereka. Anak-anak sekarang lebih terdedah dengan kemudahan IT dan teknologi.

Moga kita semua diberikan peluang oleh Allah s.w.t untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini. Disamping kita melaksanakan ibadah yang dituntut ini, kita juga menjadi seorang insan yang senantiasa mencari keredhaan Allah dalam jua yang kita lakukan di muka bumi Allah s.w.t ini. Bayangkan sekiranya kita mampu membelanjakan beribu-ribu untuk bercuti ke negara-negara lain tapi kita tidak sanggup untuk membelanjakan wang kita untuk berusaha menunaikan ibadah haji.

Saya sekeluarga dari Korea Selatan, ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidiladha buat semua teman-teman di Malaysia. Moga anda semua diberkati oleh Allah s.w.t.

Wasalam.

Post a Comment

Previous Post Next Post